Friday, March 27, 2009

Unit Bimbingan & Kaunseling SMK Bandar Rinching 2009

Bagi sesi persekolahan tahun 2009, Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Bandar Rinching akan beroperasi dari pukul 7.30 pagi hingga 6.45 petang. Ini adalah kerana bermula pada awal Januari 2009 sesi persekolah menjadi dua iaitu sesi pagi dan sesi petang kerana pertambahan bilangan murid dari 1202 pada tahun 2008 kepada 1536
orang pelajar pada tahun 2009 ini.

Guru Bimbingan dan Kaunseling yang akan bertugas pada sesi pagi adalah En. Abd Malek b Baba dan Pn. Norazita bt Lokman. Manakala Pn. Rohana bt Maarof akan bertugas pada sesi petang.Sesi persekolahan tahun 2009 diharapkan kami dapat melaksanakan tanggungjawab kami dengan lebih dedikasi dan cemerlang.

Friday, September 12, 2008

Program Motivasi SMART PMR dan SPM


Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Bandar Rinching bersama-sama pihak pengurusan sekolah telah menganjurkan satu program bagi meningkatkan motivasi para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan penting iaitu Program Motivasi SMART PMR dan SPM pada 26 Ogos dan 27 Ogos 2008. Pihak sekolah percaya dan yakin bahawa para pelajar kami boleh mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan dalam kehidupan. Maka itu, ciri-ciri pelajar cemerlang perlu wujud dan dipupuk dalam diri semua pelajar pada setiap masa.




Penceramah jemputan adalah En. Khairul Azami dari IQ Manegment. Beliau telah menyampaikan ceramah motivasi yang berfokuskan kepada ciri-ciri pelajar cemerlang. Para pelajar telah dibahagikan kepada dua kelompok iaitu pelajar Tingkatan 5, dan pelajar Tingkatan 3 bagi memudahkan penyeliaan pelajar serta supaya ceramah serta aktiviti yang dijalankan meninggalkan kesan yang positif kepada semua pelajar.


Program ini dijalankan di Dewan Seri Budi SMK Bandar Rinching selama dua hari yang bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada 11.30 pagi bagi hari pertama (26 Ogos 2008) hanya untuk pelajar Tingkatan 5 sahaja. Manakala pada hari kedua (27 Ogos 2008) program yang sama dijalankan ke atas pelajar Tingkatan 3 pula dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 2.30 petang.


Para pelajar memberi kerja sama yang baik semasa aktiviti-aktiviti dijalankan. Aktiviti 'XY Game' sangat menarik minat para pelajar. Walaunpun pada peringkat awal pelajar kurang memahami bagaimana caranya permainan ini berjalan; tetapi setelah diberi penerangan oleh fasilitator pelajar berasa seronok dengan permainan ini.


Di akhir aktiviti, penceramah telah merumuskan objektif aktiviti tersebut dijalankan dan menasihati pelajar supaya sentiasa bersikap jujur dan terus berusaha tanpa rasa jemu dalam mencapai kejayaan. Akhir sekali ucapan Selamat Maju Jaya disampaikan kepada semua pelajar.

Pihak UBK SMK Bandar Rinching sangat berharap dengan terlaksananya Program Motivasi SMART PMR dan SPM ini motivasi diri pelajar yang bakal menghadapi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) semakin berkobar-kobar. Apa yang penting adalah pihak sekolah sentiasa berusaha tanpa jemu untuk memberikan yang terbaik kepada para pelajar bagi menjamin kecemerlangan pelajar dan sekolah dalam semua bidang. SMKBR Boleh!!!

Tuesday, August 19, 2008

Pengetua SMK Bandar Rinching Bertukar


Pn. Hajah Maziyah bt Haji Hassan, Pengetua SMK Bandar Rinching dari September 2007 hingga Mac 2009. Beliau telah bertukar ke SMK Engku Husain mulai 3 Mac 2009 kerana kenaikan pangkat. Kami warga SMKBR agak berat hati untuk melepaskan beliau tetapi kami redha dan mengiringi pertukaran beliau dengan doa, semoga beliau terus mencurahkan bakti dan maju jaya di sekolah baru. Insyallah.

Perkembangan Staf - Kursus Teknik Membina Item



Pada 2 Ogos 2008, yang lalu kursus perkembangan staf kali ke 3 telah berjalan dengan jayanya. Seramai 49 orang guru SMK Bandar Rinching telah menghadiri kursus ini yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling bersama-sama pihak pengurusan SMK Bandar Rinching.



Penceramah yang dijemput adalah En. Khalid b Ahmad, beliau adalah salah seorang pembina item dari Majlis Peperiksaan Malaysia. Beliau menyampaikan objektif pengujian dan penilaian dibentuk serta bagaimana membina item yang baik sebelum sesuatu item itu laksanakan sebagai bahan ujian kepada para pelajar.




Kursus ini bermula pada jam 8.30 pagi, mendapat maklum balas positif daripada semua guru SMK Bandar Rinching. Kebanyakan guru berharap agar kursus ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan. Kursus ini tamat pada pukul 12.30 tengah hari.

Friday, July 25, 2008

Sejarah SMK Bandar Rinching



SMK Bandar Rinching mula beroperasi pada 3 Januari 2005. Proses pembukaan sekolah bermula pada 16 Disember 2004 (Khamis) dikendalikan oleh 2 orang Penolong Kanan sebagai
“Caretaker”, 24 orang guru penolong, seorang Pembantu Tadbir, seorang Pembantu Makmal dan 2 orang Pembantu Am Rendah.


Sekolah pada mulanya menerima 166 orang murid pada 31 Disember 2004 dan ditempatkan dalam 6 kelas tingkatan 1 dan 1 kelas tingkatan 2

☼ Sekolah rendah yang menjadi pembekal “Feeder Schools”
- SK Bandar Rinching
- SK Jalan Semenyih 1
- SJKC Sin Ming
- SJKT Ladang Rinching
- SJKT Ladang Semenyih

☼ Taburan etnik murid di sekolah ini adalah 51.5 % Melayu,
48.0 % India dan 0.5 % Cina. Sekolah ini memperkenalkan
Program Integrasi dalam setiap aktiviti untuk memupuk perpaduan
antara warga sekolah dan kehidupan yang harmoni.

Jawatankuasa Penaja PIBG ditubuhkan sejak 15 Januari 2005. Mesyuarat Agung Penubuhan PIBG diadakan pada 20 Februari 2005. Kehadiran ahli sebanyak 54 orang terdiri daripada ibu bapa dan guru. PIBG SMK Bandar Rinching telah diluluskan pada 27 Mei 2005/18 Rabiul Akhir 1426H. No. Pendaftaran SEL:1081

☼ SMK Bandar Rinching mula diterajui oleh Pn Hjh Amnah bt. Hashim
pada 24 Januari 2005

☼ SMK Bandar Rinching menjadi Sekolah Peluasan Bestari mulai 1 Januari 2006.
Pembestarian pengajaran dan pembelajaran menjadi tunjang kepada Pembestarian Sekolah.

☼ Satu Kelas Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran dibuka
bermula pada 16 Jun 2005

☼ Tiga Kelas Tingkatan Empat bermula pada 16 Januari 2006 : Satu Aliran Sains) , Dua Aliran Sastera Ikhtisas (Pilihan Prinsip Akaun + Perdagangan) dan (ERT, Perdagangan & Tasawwur Islam)