Friday, September 12, 2008

Program Motivasi SMART PMR dan SPM


Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Bandar Rinching bersama-sama pihak pengurusan sekolah telah menganjurkan satu program bagi meningkatkan motivasi para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan penting iaitu Program Motivasi SMART PMR dan SPM pada 26 Ogos dan 27 Ogos 2008. Pihak sekolah percaya dan yakin bahawa para pelajar kami boleh mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan dalam kehidupan. Maka itu, ciri-ciri pelajar cemerlang perlu wujud dan dipupuk dalam diri semua pelajar pada setiap masa.




Penceramah jemputan adalah En. Khairul Azami dari IQ Manegment. Beliau telah menyampaikan ceramah motivasi yang berfokuskan kepada ciri-ciri pelajar cemerlang. Para pelajar telah dibahagikan kepada dua kelompok iaitu pelajar Tingkatan 5, dan pelajar Tingkatan 3 bagi memudahkan penyeliaan pelajar serta supaya ceramah serta aktiviti yang dijalankan meninggalkan kesan yang positif kepada semua pelajar.


Program ini dijalankan di Dewan Seri Budi SMK Bandar Rinching selama dua hari yang bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada 11.30 pagi bagi hari pertama (26 Ogos 2008) hanya untuk pelajar Tingkatan 5 sahaja. Manakala pada hari kedua (27 Ogos 2008) program yang sama dijalankan ke atas pelajar Tingkatan 3 pula dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 2.30 petang.


Para pelajar memberi kerja sama yang baik semasa aktiviti-aktiviti dijalankan. Aktiviti 'XY Game' sangat menarik minat para pelajar. Walaunpun pada peringkat awal pelajar kurang memahami bagaimana caranya permainan ini berjalan; tetapi setelah diberi penerangan oleh fasilitator pelajar berasa seronok dengan permainan ini.


Di akhir aktiviti, penceramah telah merumuskan objektif aktiviti tersebut dijalankan dan menasihati pelajar supaya sentiasa bersikap jujur dan terus berusaha tanpa rasa jemu dalam mencapai kejayaan. Akhir sekali ucapan Selamat Maju Jaya disampaikan kepada semua pelajar.

Pihak UBK SMK Bandar Rinching sangat berharap dengan terlaksananya Program Motivasi SMART PMR dan SPM ini motivasi diri pelajar yang bakal menghadapi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) semakin berkobar-kobar. Apa yang penting adalah pihak sekolah sentiasa berusaha tanpa jemu untuk memberikan yang terbaik kepada para pelajar bagi menjamin kecemerlangan pelajar dan sekolah dalam semua bidang. SMKBR Boleh!!!

No comments: